06 Jun 2009

Tokoh Guru Negeri Sabah 2009

10,000 SEKOLAH DINAIK TARAF Oleh ZULHISHAM ISHAKutusansabah@utusan.com.my

BERSAMA TOKOH GURU.... Muhyiddin (tiga, kiri) bersama Musa (tiga, kanan) dan Normah (kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Guru 2009 di Dewan Datuk Seri Panglima Lee Sen, Sekolah Menengah Ken Hwa.

Turut sama ialah Aminah Musally (dua, kanan), Zainal Abidin Laja (dua, kiri) dan Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof yang diwakili isteri beliau. Shuhaibun meninggal dunia pada 25 Mac 2009 (Gambar dan catatan: New Sabah Times, 6 Jun 2009). KENINGAU 5 Jun - Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan masalah kemudahan asas di kira-kira 10,000 buah sekolah seluruh negara dalam masa dua atau tiga tahun lagi. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fokus utama akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman di Sabah, Sarawak termasuk di beberapa tempat di Semenanjung. "Memang ada tindakan berterusan diambil bagi meningkatkan mutu dan keadaan fizikal sekolah serta kemudahan infrastruktur, tetapi saya dapati ia mengambil masa terlalu panjang. "Tempoh masa berkenaan perlu dipendekkan dengan lebih fokus diberi ke arah menaik taraf kemudahan di kawasan pedalaman, termasuk juga menyediakan kuarters guru," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Ke-39 Peringkat Negeri Sabah 2009 di Sekolah Menengah Ken Hwa di sini hari ini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Exco Pelajaran Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh. Pada majlis itu, tiga bekas guru menerima anugerah Tokoh Guru Negeri Sabah 2009 iaitu Aminah Musally, 59, Zainal Abidin Laja, 59, dan Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof, 74, yang diwakili oleh isterinya, Datin Ripa Jolak. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan melihat usaha menaik taraf itu lebih relevan berbanding menggantikan bangunan sekolah sedia ada yang tentunya mengambil masa lama. "Oleh itu, kita mahu tahu perbelanjaan diperlukan kerana ada sesetengahnya termasuk dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) manakala ada juga dalam RMK-10," katanya. Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu, kerajaan setakat ini sudah membelanjakan RM440.8 juta daripada dana RM1.3 bilion untuk pembangunan pendidikan di Sabah di bawah RMK-9. Beliau juga meminta supaya segala bantuan dan peruntukan Kerajaan Pusat yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Sabah tidak dipertikaikan. Katanya, kerajaan memperuntukkan RM10.9 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama untuk membaik pulih, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sekolah di Sabah. "Peruntukan tambahan juga telah diluluskan sebanyak RM1.7 juta untuk pembangunan pendidikan di negeri ini di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua," katanya. Selain itu, katanya, bagi menjaga kebajikan guru di sini, sebanyak 232 unit kuarters guru di seluruh negeri dijangka siap sebelum RMK-9 berakhir. Sumber: Utusan Malaysia, 6 Jun 2009 & New Sabah Times, 6 Jun 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan