27 Jun 2009

Jejak Sekolah, Jejak Murid

Pada kebiasaannya kita selalu menonton atau membaca melalui mana-mana media tajuk "Jejak Kasih". Tapi pada laman ini biarlah saya nyatakannya sebagai "Jejak Sekolah, Jejak Murid". Ini kerana apa yang berlaku di sini ialah bekas murid sekolah ini menjejak semula ke sekolah ini selepas puluhan tahun keluar dari sekolah ini dan telah menjadi orang yang berjaya pula.

Melalui ruang ini juga kami mengajak mana-mana mantan murid sekolah ini yang telah berjaya dalam kerjaya mereka supaya tampil menghubungi kami sebagai suatu usaha mengimbau kembali nostalgia mereka semasa belajar di sini dan juga sebagai suatu kebanggaan bagi warga SK. Kennedy Bay yang dapat melahirkan insan-insan yang berjaya.

Pada 25 Jun 2009 yang lalu, salah seorang bekas murid sekolah ini dalam tahun 80-an, Helen Lim, tanpa dirancang dan tanpa temu janji telah muncul menjejak kaki ke sekolah ini. Menurut beliau, secara kebetulan beliau berada di Lahad Datu untuk suatu tugas rasmi, terdetik di hati untuk melihat-lihat semula sekolah di mana beliau pernah belajar suatu ketika dulu.

Apa yang membanggakan kami ialah Helen seorang yang kini mempunyai kedudukan dan kerjaya yang sungguh baik di Jabatan Perdana Menteri, tetapi tidak seperti "kacang lupakan kulit". Beliau menemui mantan guru-guru beliau, bersalaman, cium tangan dan berpelukan (maksud saya, yang sama sejenis dengannyalah) dengan penuh rasa sebak.
Dari Kiri: En. Salam (Jab. Air Lahad Datu), En. Sidik, En. Sukarno (Jab.Air Sandakan), En. Arsani Alam (Guru Besar), Helen Lim, Pn. Minie Gimoh (PK. HEM), Pn. Jainie Selamat (PK. 1) dan Pn. Hamidah Padawan (PK. Kokum).
"Dulu, cikgu Minie selalu cubit saya, tapi cubit-cubit sayang".
Dua orang rakan yang mengiringi Helen, (dari kiri) En. Sukarno dari Jabatan Air Sandakan, En. Salam dari Jabatan Air Lahad Datu, mengabadikan gambar kenangan semasa berada di sekolah ini.
"Terima kasih cikgu, jasa cikgu tetap dalam kenangan saya".
"Di tempat inilah saya duduk semasa belajar di sekolah ini dulu"
Helen terasa sayu mengimbau kenangan semasa bersekolah di sini lebih 20 tahun yang lalu.
Anak-anak yang ada ini, diharap dapat mencontohi Helen. Mudah-mudahan mereka juga akan berjaya suatu ketika nanti.
Kami warga SK. Kennedy Bay sentiasa mendoakan Helen agar terus berjaya dalam hidup dan kerjayanya.