Minta bonus salah dari segi moral
KUALA LUMPUR 4 Nov. – Tindakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut bayaran bonus daripada kerajaan adalah salah dari segi moral.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini berikutan tuntutan itu dibuat ketika keadaan ekonomi negara kini masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, walaupun tindakan seumpama itu boleh membuatkan CUEPACS popular di kalangan ahlinya, tetapi dalam konteks ekonomi semasa ia disifatkan sebagai tidak wajar.
“Namun begitu, ia bukan bermakna kerajaan tidak menghargai sumbangan kakitangan awam sebaliknya kerajaan sentiasa memikirkan cara dan kaedah untuk meningkatkan motivasi mereka.
“Terbaru kita bakal memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan dan setimpal terutama kepada pegawai serta kakitangan awam yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum perniagaan anjuran Bankers Club di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bankers Club, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar
Sumber: Utusan Malaysia Online, 5 November 2009.