24 April 2009
Lanjut Tempoh Kursus Guru PPSMI
Lanjut tempoh kursus guru PPSMI
Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my
Kementerian mahu pertingkat penguasaan pengajar dalam bahasa Inggeris
GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran bercadang melanjutkan tempoh kursus bahasa Inggeris bagi guru yang terbabit dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada enam bulan, berbanding tiga bulan ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, bagaimanapun berkata perkara itu masih pada peringkat awal dan memerlukan kajian terperinci sebelum dilaksanakan.
"Lanjutan tempoh itu perlu bagi memperkasakan dan meningkatkan penguasaan guru dalam bahasa Inggeris.
"Sejak PPSMI dilaksanakan, banyak pandangan diterima, ada yang bersetuju dan ada juga yang sebaliknya. Ia bukan saja membabitkan murid dan ibu bapa tetapi guru juga," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterima, cabaran utama PPSMI bukanlah murid tetapi guru sendiri yang masih lemah menguasai Bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, katanya, guru perlu diletakkan dalam suasana latihan yang keseluruhannya dalam bahasa Inggeris supaya tahap pencapaian dan kemahiran mereka dapat ditingkatkan.
"Kita tidak mahu lagi guru yang berkursus diselang-selikan dengan tugas mengajar. Ia akan menyebabkan mereka hilang fokus," katanya.
Beliau berkata, jika perlu, sekolah yang menghantar guru berkursus perlu mencari guru ganti bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas.
Noor Rezan berharap guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP).
Katanya, imbuhan yang diterima sepatutnya digunakan untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris.
Sumber: Utusan Malaysia online, 24 April, 2009.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan