25 September 2009

Suntikan Pelalian Kanser Pangkal Rahim Diwajibkan

Suntikan pelalian kanser pangkal rahim diwajibkan.
25/09/2009 12:50pm

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Mulai tahun depan 300,000 remaja yang berusia 13 tahun atau pelajar tingkatan tiga diwajibkan menerima suntikan pelalian kanser pangkal rahim bagi mengelakkan penyakit tersebut terus merebak.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia merupakan program pelalian human papillomavirus (HPV) yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini.
`` Program ini melibatkan kos sebanyak RM150 juta setahun,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sumber Berita: Utusan Malaysia Online, 25 September 2009.

16 September 2009

SEKOLAH CUTI KHAS JUMAAT INI

Sekolah cuti khas Jumaat ini
16/09/2009 4:42pm


PUTRAJAYA 16 Sept. — Kerajaan memberikan cuti khas Jumaat ini kepada semua sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau berkata, pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.
Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya, katanya dalam kenyataan media.
Berikutan keputusan Kabinet itu, surat kementerian berkaitan cuti tambahan sempena hari raya sebelum ini adalah terbatal. - Bernama

Sumber Berita: Utusan Malaysia 16.09.2009.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Semua Staf SK. Kennedy Bay, Lahad Datu,

ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI dan MAAF ZAHIR BATIN:

kepada

semua warga pendidikan,

semua rakyat Malaysia, dan

semua kaum muslimin dan muslimat

di mana saja mereka berada.

15 September 2009

Sekolah Dibenar Ambil Cuti Berganti

PUTRAJAYA 14 Sept. - Kementerian Pelajaran membenarkan mana-mana sekolah memohon cuti peristiwa atau cuti berganti pada 17 dan 18 September ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 20 September ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga masing-masing untuk bercuti di kampung halaman selain mengelak kesesakan jalan raya.
''Bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya jatuh pada Jumaat dan Sabtu, sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Khamis, 17 September ini dan negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, sekolah-sekolah boleh bercuti pada 18 September ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Alimuddin, sekolah-sekolah yang mengambil cuti berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan tersebut pada Sabtu 31 Oktober ini.
''Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri diarah supaya meluluskan cuti tambahan tersebut mengikut kes-kes yang memohon sahaja dan kelulusan itu tidak diberikan secara keseluruhan. ''Semua Pejabat Pelajaran Daerah hendaklah memantau pelaksanaan cuti tambahan berganti tersebut," katanya.

Sumber Berita: Utusan Malaysia Online, 15 September 2009.

12 September 2009

UPSR 2009: Pemantauan PPD ke SKKB

Pada hari kedua Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijalankan, PPD Lahad Datu, En. Mohd. Zaini Hj. Yanin, bersama 2 orang Penyelia Pendidikan Daerah, iaitu Tuan Hj. Abdul Hj. Using dan En. Jihol Yungut telah membuat pemantauan ke SK. Kennedy Bay, untuk meninjau pelaksanaan UPSR di sekolah ini.
Encik Jihol dan Tuan Hj. Abdul
PPD Lahad Datu, En. Mohd. Zaini (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Ketua Pengawas Peperiksaan (kiri), En. Timothy.
Peperiksaan sedang dijalankan

08 September 2009

8, 9 & 10 September 2009: UPSR

Kepada semua murid Tahun 6 SK. Kennedy Bay (khususnya) dan murid Tahun 6 di seluruh negara (amnya), diucapkan Selamat Menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah.
Doa kami, guru-guru dan juga ibu bapa, semoga anda semua mencapai kejayaan yang cemerlang.

SEMOGA BERJAYA!!

ADELINA PELAJAR TERBAIK DI LONDON

Adelina Raisa Sufian
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pelajar Malaysia, Adelina Raisa Sufian, 21, meraih anugerah 'Pelajar Terbaik Keseluruhan' dengan kelulusan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Queen Mary College di University of London yang sekali gus mengharumkan nama negara.
Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk anugerah 'Westfield Trust Prize for Outstanding Academic Achievement' apabila berjaya menjadi pelajar Malaysia pertama memenangi anugerah yang dianggap paling berprestij dari universiti tersebut.
Anak sulung kepada pasangan, Datuk Sufian Majid dan Datin Alissa Fitri ini berkata, beliau begitu gembira dan bangga kerana mendapat kelulusan kelas pertama dan berjaya menggondol anugerah tersebut kerana ia merupakan impian dan cita-citanya ketika mula menjejak kaki ke universiti tersebut.
''Saya belajar bersungguh-sungguh dengan menetapkan sasaran tertentu. Yang penting adalah kesungguhan dan keyakinan pada diri kita. Saya terpaksa menandingi ramai pelajar di London dan juga pelajar dari negara lain tetapi berbekalkan semangat yakin boleh, saya berjaya melakukannya.
''Saya juga selalu mendapat sokongan dan rangsangan daripada ibu bapa dan juga adik saya. Kata-kata rangsangan mereka memberikan suntikan semangat yang kuat kepada saya,'' katanya kepada Bernama.
Adelina Raisa yang mahir bermain piano dan pernah mewakili universiti dalam pertandingan koir, pertandingan Matematik dan banyak lagi aktiviti lain berkata, pelajar Malaysia boleh melakukan yang terbaik dalam pengajian bahasa Inggeris walaupun meneruskan pengajian di luar negara seperti di London yang penuh dengan cabaran.
Beliau juga pernah memenangi anugerah 'Headmaster's Prize' pada 2004 di Oakham School dan juga Anugerah Terbaik untuk mata pelajaran Matematik, Inggeris dan Kimia pada tahun yang sama.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Adelina Raisa yang suka meluangkan masanya untuk menulis berkata: ''Saya akan bekerja di Malaysia. Saya sayangkan Malaysia. Negara kita tetap menjadi pilihan saya untuk meneruskan karier saya kerana banyak peluang di sini.
''Apabila kita habis belajar di luar negara, adalah lebih baik kita balik dan menyumbang tenaga dan khidmat kita kepada negara kita yang tercinta,'' katanya yang bercadang meneruskan pengajian mastersnya kelak. - BERNAMA

Sumber Berita: Utusan Malaysia, 8 September 2009.

02 September 2009

Calon Peperiksaan Diminta Jaga Kebersihan, Elak Jangkitan H1N1

01/09/2009 5:39pm KUALA LUMPUR 1 Sept. — Pelajar, terutama yang akan menduduki peperiksaan dinasihat supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak daripada dijangkiti virus influenza A (H1N1). Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, amalan kebersihan diri yang utama perlu diteruskan dengan membasuh tangan terutama selepas batuk dan bersin, selain menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika bersin dan membuang terus tisu itu ke dalam tong sampah.
Antara peperiksaan yang bakal dihadapi pelajar ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu pada 8 hingga 10 Sept., Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula pada 7 Okt. dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 19 Nov.
Beliau turut meminta ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika mereka menunjukkan tanda-tanda demam atau selesema.
“Ini kerana jika anak-anak yang menunjukkan simptom dihantar juga ke sekolah, ia amat berisiko untuk menularkan virus influenza A (H1N1) kepada rakan-rakan mereka yang lain,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa H1N1 di sini, hari ini. - Bernama
Sumber: Utusan Malaysia, 2 September 2009.